Penjara `calar' jiwa
Oleh Ku seman Ku Hussain
utusan malaysia online
DENDA RM600 atau penjara 14 hari? Ahmad Harizal Ahmad Fauzie yang berusia 18 tahun memilih dipenjarakan kerana gagal mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Bagi sesetengah orang RM600 hanya sama dengan enam batang cerut saja. Tetapi bagi Ahmad Harizal, RM600 sama dengan empat bulan pendapatan ibunya sebagai pembantu tadika.
Perkiraan matematik Ahmad Harizal tentulah penjara 14 hari lebih baik daripada mengeluarkan RM600. Pada perkiraannya 14 hari jauh lebih singkat deritanya daripada empat bulan untuk ibunya bekerja tanpa gaji kalau berhutang untuk membayar denda itu.
Keutamaan Ahmad Harizal adalah untuk mencari makan kepada ibu dan adik-adik. Kita jangan terlalu ideal untuk mengharapkan remaja sekelas dengan Ahmad Harizal dari segi sosial dan ekonomi untuk meletakkan PLKN sebagai satu keperluan.
Remaja yang menjadi ketua keluarga ini tentu sekali tidak pernah menjangka apa-apa daripada tindakannya memilih penjara 14 hari. Dia sekadar tidak mahu membebankan ibunya.
Ketika orang Kuala Lumpur riuh-rendah menyambut Hari Ibu, Ahmad Harizal di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis ini mungkin tidak tahu pun apa itu Hari Ibu. Tetapi apa yang dilakukan jauh lebih bermakna daripada sesetengah yang riuh-rendah menjaja kasih sayang kepada ibu.
Sebenarnya antara RM600 dengan penjara 14 hari sangat jauh bezanya. Perkiraan matematik Ahmad Harizal tidak akan menguntungkan dirinya apabila trauma di penjara akan terus mengganggu hidupnya. Penjara 14 hari akan merugikan dirinya. Ini kerana alam, kejutan budaya serta stigma masyarakat terhadap pesalah yang dipenjarakan sangat menyeksakan.
``Penjara sewajarnya pilihan terakhir selepas usaha lain tidak mendatangkan kesan. Saya percaya banyak langkah lain boleh dilakukan daripada terus dibawa ke penjara,'' kata Pakar Perunding Psikiatrik Remaja dan Kanak-Kanak HUKM Dr. Zasmani Shafie.
Beliau yang banyak menangani kes-kes psikiatrik remaja dan kanak-kanak ini melihat remaja sebagai golongan yang mula mengenal hidup. Tentunya tidak kena kalau mereka tidak diberi peluang terlebih dahulu.
``Mereka baru hendak mengenal hidup dan perlu dibantu untuk membentuk diri,'' tegas Dr. Zasmani yang secara peribadi melihat bukan sahaja kes PLKN malah kes-kes juvana juga wajar dihukum dengan kerja-kerja sosial dan bukannya penjara.
Kerana itu kita sama sekali tidak boleh memencilkan 14 hari hukuman penjara ke atas Ahmad Harizal. Ini kerana hukuman penjara tidak menjurus kepada matlamat PLKN untuk membentuk dan membimbing remaja. Hukuman penjara selain memberikan satu trauma yang panjang, ia juga boleh mencetuskan sikap menentang di jiwa remaja.
PLKN yang diwujudkan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara bermula 2003 bertujuan melahirkan remaja yang lasak, tidak pasif dalam pergaulan, hidup kendiri dan merentasi batas antara kaum. Program yang diperuntukkan belanja RM500 juta itu bukanlah kerahan tenaga untuk mempertahankan negara.
Konsep PLKN juga bertujuan membentuk peribadi remaja untuk menjadi warga yang waras dalam hubungan sesama manusia dan patriotik kepada negara. Modul pengajaran di kem-kem latihan juga menjurus kepada matlamat ini.
Pelaksanaan program ini memang menuntut ketegasan. Maknanya mereka yang sengaja ingkar wajar dihukum. Tetapi tahap hukuman perlu ada peringkat-peringkatnya selain kita yakin bahawa remaja berkenaan faham dengan apa yang dilakukan. Maka setiap hukuman kepada remaja yang sengaja tidak hadir ke program ini perlu menjurus kepada membentuk peribadi dan membimbing.
Bagi Dr. Zasmani, suatu yang penting adalah penyebaran maklumat tentang PLKN mesti menyeluruh serta tindakan-tindakan sekiranya mereka ingkar.
Taraf sosial
``Tindakan atau hukuman ini perlu ada peringkat-peringkat tertentu sebelum ke tahap akhir dalam kes ini dipenjara,'' tegas Dr. Zasmani sambil mengingatkan bahawa kita jangan menganggap semua masyarakat di negara ini boleh akses kepesatan dunia maklumat seperti bandar-bandar besar.
``Bukan semua macam orang Putrajaya,'' kata Dr. Zasmani tentang akses maklumat yang berbeza di antara satu tempat dengan tempat yang lain berdasarkan taraf sosial masyarakat.
Tragedi duka yang menimpa Ahmad Harizal sebenarnya memberikan iktibar kepada banyak pihak; masyarakat, remaja dan juga PLKN ini. Perkara yang berlaku kepada Ahmad Harizal wajar menjadi satu kajian kes untuk menilai semula pendekatan hukuman dalam PLKN.
Kontroversi hukuman penjara ke atas Ahmad Harizal sebenarnya tidak memberikan imej buruk kepada mana-mana pihak. Jauh ia memberikan gambaran kegagalan PLKN. Secara positif kontroversi ini membuka debat cerdik kajian kes bahawa hukuman penjara barangkali tidak sesuai dengan matlamat PLKN.
Mereka yang didapati bersalah mesti dihukum tetapi bentuk hukuman perlu menzahirkan kesedaran, keinsafan dan kebaikan PLKN. Salah satu bentuk hukumannya ialah membuat kerja sosial. Hukuman begini bukan saja tidak trauma sebagai banduan malah mempunyai potensi untuk menginsafkan.
Hukuman penjara sudah tentu memberikan kesan buruk pada psikologi untuk jangka panjang. Begitu juga hukuman berbentuk denda yang sama sekali tidak menginsafkan remaja yang melanggar tuntutan PLKN. Kepada anak-anak keluarga berada apalah sangat dengan RM600?
Keluarga akan membayar denda dan anak mereka terlepas seketika daripada satu program pembentukan sahsiah yang penting. Tentu lebih baik ditiadakan hukuman denda tetapi dihukum membuat kerja sosial. Kalau kita terus menerima denda, sejumlah besar daripada 4,269 remaja yang gagal hadir PLKN akan membayar denda. Tetapi denda tidak boleh membentuk kesedaran kepada remaja.
Menerima denda juga pada suatu peringkat pula akan menjadi ukuran status sosial antara keluarga yang mampu dan tidak mampu bayar. Ini bertentangan dengan matlamat PLKN supaya tidak ada diskriminasi sosial di kalangan remaja.
Kontroversi Ahmad Harizal jangan sama sekali disekutukan sebagai suatu yang mencalarkan kemurnian matlamat PLKN. Kejadian ini wajar dilihat dengan positif sebagai cetusan untuk menambahbaikan pelaksanaan PLKN.
Dari segi pelaksanaan hukuman misalnya, kalau bertolak daripada kajian kes Ahmad Harizal, kita mendapati hukuman penjara tidak sesuai. Ini membuka ruang untuk hujah seterusnya bahawa hukuman membuat kerja sosial lebih sesuai. Maka selepas ini boleh dibincangkan lagi di peringkat tertinggi dalam PLKN khidmat sosial yang bagaimana dan berapa jangka masanya.
Senarai mereka yang diwajibkan mengikuti PLKN disiarkan di akhbar-akhbar utama. Tetapi dengan menjadikan Ahmad Harizal sebagai kajian kes, kita akan temui banyak kalangan remaja yang tidak tahu-menahu tentang PLKN. Maknanya penyebaran tentang PLKN belum sampai ke seluruh pelosok negara; dari Putrajaya hingga Titi Serong, Perlis dari Kuala Lumpur hingga ke Gua Musang, Kelantan.
Ini disebabkan oleh latar sosial keluarga, belenggu kemiskinan, sosialisasi yang terbatas dan tahap pendidikan. Buktinya Ahmad Harizal sebenarnya boleh meminta dikecualikan daripada PLKN kerana berkerja untuk menyara keluarga. Tetapi dia tidak tahu semua itu.
Dia berpeluang membuat rayuan malah boleh dikecualikan kerana menyara keluarga. Tetapi kita jangan terlalu ideal bahawa remaja seumpama Ahmad Harizal akan datang membuat rayuan dan melayan kerenah birokrasi yang merimaskan. Maka perlu ada satu mekanisme untuk memudahkan remaja seperti ini mendapat pengecualian dan ada sistem mengesan kesulitan mereka.
Seperkara kes Ahmad Harizal membuka masalah komunikasi terhalang dalam institusi kemasyarakatan. Jangan mengharapkan Menteri Besar tahu semuanya yang berlaku dalam negeri pimpinan beliau.
Institusi yang paling hampir dengan rakyat adalah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Kawasan yang dipantau JKKK selalunya tidak luas dan JKKK kenal semua penduduk kampung berkenaan. JKKK mungkin boleh membantu meminta pengecualian melalui saluran yang betul. Iktibarnya JKKK lain di seluruh negara perlu digerakkan bertepatan dengan fungsi hakikinya.
Kemiskinan pula selalu menjadi punca kepada konflik yang lebih besar dalam masyarakat. Kontroversi Ahmad Harizal tidak berlalu kalau bukan kemiskinan yang melingkari hidupnya. Maka kemiskinanlah yang mencetuskan semua ini; gagal meneruskan persekolahan, gagal bayar denda dan remaja terpaksa meninggalkan alam remajanya kerana terpaksa menyara keluarga.
Seperti kata Dr. Zasmani, ``Tolong bayar denda adalah pertolongan jangka pendek. Tetapi tolonglah bawa dia keluar daripada lingkaran kemiskinan supaya adik-adiknya tidak terus mewarisi kemiskinan itu.''