Bekas jurulatih PLKN dipenjara 12 tahun, tiga sebatan
20-12-2005 03:43:11 PM
KUALA TERENGGANU: Bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kpl Zuki Mohd hari ini djatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah merogol seorang pelatih program itu pada 28 Feb tahun lepas.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan hukuman terhadap Zuki dijalankan, mulai hari ini.
Zuki, 30, seorang anggota tentera didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 19 tahun antara 7.28 malam hingga 9.10 malam dalam sebuah kereta Perodua Kancil di kawasan pertanian Rhu Tapai, Setiu pada 28 Feb lepas.
Zuki yang berasal dari Kampung Bari Besar, Setiu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta dikenakan sebatan.
Ahmad Zaidi dalam penghakimannya yang lebih setengah jam berkata setelah mengambil kira keterangan daripada keduadua pihak, beliau mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.
"Mahkamah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan wujudnya prima facie di dalam kes ini sehingga pada satu peringkat tertuduh dipanggil membela diri," katanya.
Beliau berkata mahkamah menerima keterangan kesemua saksi pendakwa terutama mangsa dan pegawai perubatan bahawa berlakunya kejadian rogol kerana terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.
Ahmad Zaidi turut mempersoalkan tindakan pihak pembela yang mahu menjejaskan kredibiliti mangsa yang merupakan saksi penting di dalam kes itu dengan mengaitkan beliau berbohong.
"Secara keseluruhan, setelah meneliti keterangan yang diberikan mangsa sebagai saksi pendakwa ke11, mahkamah mendapati beliau bercakap benar dan lurus. Maka, saya berpendapat pihak pembela gagal meyakinkan mahkamah bahawa wujudnya syak yang munasabah di dalam kes ini," katanya.
Ahmad Zaidi berkata hukuman itu juga mengambil kira unsur ketidaksukarelaan, masa, tempat serta tarikh di dalam kes itu serta keterangan mangsa dan beberapa saksi lain.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Ahmad Zaidi berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah amat serius kerana melibatkan pelatih PLKN, dan perbuatan tertuduh menyebabkan kerajaan terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan orang ramai berikutan kejadian itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah manakala Zuki diwakili peguam, Mat Yusoff Mohamad.
Zuki yang berpakaian kemeja kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya. Turut berada di mahkamah ialah kedua ibubapa dan anggota keluarganya.
Sementara itu ketika mengemukakan rayuan, Mat Yusoff berkata anak guamnya sudah beristeri serta mempunyai dua anak kecil dan kesalahan itu adalah yang pertama dilakukannya. Katanya Zuki akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi. BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home