Kem PLKN Belum Capai Tahap Kesedaran Keselamatan Yang Tinggi
BANGI, 19 April (Bernama) -- Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye terkejut ada kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengabaikan aspek keselamatan pelatih melalui latihan "Flying Fox" dengan tali yang hanya diikat kepada pokok sahaja.
Beliau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) berkata tidak sepatutnya pelatih yang terdiri daripada pelajar itu menanggung risiko sedemikian.
"Sepatutnya pakai menara. Ini diikat pada pokok, ini tidak boleh kerana kalau tumbang pokok itu boleh menyebabkan nyawa melayang," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan 240 pelatih PLKN dari kem Princess Haliza di Niosh Rabu.
Walaupun kebanyakan kem PLKN mempunyai jaminan keselamatan yang baik namun Lee tidak akan berkompromi mengenai aspek keselamatan kerana kemalangan pernah berlaku di kem PLKN sendiri.
Beliau berkata ada juga jurulatih PLKN ditempatkan di rumah yang tidak selamat sehingga berlaku litar pintas dan terbakar seperti yang terjadi di sebuah kem PLKN di Pulau Pinang tidak lama dahulu.
Lee tidak menolak kemungkinan pada masa hadapan, semua kem harus memiliki sijil perakuan keselamatan ke atas peralatan yang ada di kem itu.
"Saya ada melawat kem PLKN, ada kem PLKN mempunyai konsultan keselamatan mereka sendiri tetapi saya suka mengingatkan, Niosh sedia membantu untuk membantu mewujudkan aspek keselamatan yang baik di kem," katanya lagi.
Katanya walaupun tiada kes kemalangan yang membabitkan pelajar di kem PLKN tetapi pengalaman Niosh mengendalikan kes-kes keselamatan di sekolah menjadi pengajaran bahawa kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Di sekolah sendiri, terdapat pelajar dan guru yang maut atau cedera akibat kemalangan seperti kes pelajar cedera mata akibat letupan di sekolah (pada tahun 1999), seorang murid cedera dihempap kipas siling (2003), pelajar cedera jatuh bangunan (2003) dan pelajar cedera akibat letupan di makmal sains (2004).
Kes maut pula membabitkan seorang pelajar yang mati akibat dihempap tiang gol sekolah tidak lama dahulu beserta kematian seorang guru lelaki yang terjatuh selepas lantai sekolah reput.
Ditanya mengenai kes ugutan bom yang kononnya dilakukan oleh bapa kepada seorang pelatih PLKN yang mati membunuh diri selepas dirogol oleh beberapa orang pelatih PLKN, Lee berkata kes itu tidak dapat dibuktikan benar malah beliau menganggap isu itu hanya khabar angin semata-mata.
-- BERNAMA

0 Comments:
Post a Comment
<< Home