Pelatih PLKN Maut Dalam Pergaduhan
JOHOR BAHARU, 22 April (Bernama) -- Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam satu pergaduhan antara satu sama lain di Kem PLKN Agro Pelancongan, Batu 13, Jalan Kluang-Kahang, Kluang Sabtu malam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Johor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika mangsa Haziq Jaafar, 17, dan salah seorang pelatih lain, juga 17, sedang menonton siaran televisyen bersama-sama 10 pelatih lain di ruang menonton kem berkenaan.
"Dipercayai kejadian bermula dari perbuatan ejek-mengejek di antara kedua-dua mereka sebelum bertambah serius sehingga bertumbuk. Akibat pergaduhan itu, kedua-dua mereka cedera dan dihantar ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari Sabtu.
Bagaimanapun, Haziq yang berasal dari Kota Tinggi meninggal dunia kira-kira pukul 11.55 malam tadi di hospital, manakala seorang lagi pelatih itu, yang berasal dari Kempas, Johor Baharu, mengalami cedera ringan, katanya.
Abdul Rahim berkata, jurulatih program berkenaan tiada di tempat itu ketika kejadian dan siasatan awal mendapati tiada sebarang senjata digunakan semasa pergaduhan terbabit.
"Tiada sebarang senjata ditemui dan hanya sedikit kesan-kesan calar yang ditemui pada bahagian tengkuk mangsa," katanya.
Beliau berkata, siasatan terperinci akan direkodkan dari pelajar yang terlibat dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akibat bunuh.
Mayat Haziq difahamkan sudah dituntut keluarga setelah selesai bedah siasat pukul 2.30 petang tadi dan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kuarters Kilang Sawit Tai Tak , Kota Tinggi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Makam, Kota Tinggi.
-- BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home