cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

Tidak Perlu Peraturan Lebih Ketat Di Kem PLKN, Kata Zainal Abidin Zin


KOTA TINGGI, 23 April (Bernama) -- Peraturan ke atas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ketika ini sudah memadai dan tidak perlu diperketatkan bagi mengelak kejadian buruk di kem PLKN seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.

Beliau berkata peraturan sedia sudah memadai kerana tiada sebarang kejadian yang lebih serius berlaku sebelum kes pergaduhan di kalangan pelatih sehingga membabitkan kematian Haziq Jaafar, 17, di Kem PLKN Padang Hijau, dekat Kluang dua hari lepas.

"Kita tidak suka kejadian seperti ini berlaku. Apa yang terjadi di luar jangkaan. Siapa sangka ini terjadi tetapi pada saya peraturan yang ada sudah mencukupi dan tidak timbul syak wasangka yang meruncing.

"Jelas apa yang berlaku disebabkan perselisihan, yang kita risaukan sekiranya pergaduhan itu disebabkan masalah perkauman," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad selepas melawat dan menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga Haziq di Kuarters kilang Sawit Tai Tak, Jalan Kulai, di sini.

Zainal Abidin yang diringi Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Abdul Halim Abdul Hamid, berkata semua jurulatih dan komandan PLKN di semua kem sudah dinasihatkan menjaga setiap pelatih bagaikan anak sendiri dan sentiasa mengambil tahu kebajikan mereka.

Diminta mengulas mengenai rokok yang dikatakan punca pergaduhan itu, Zainal Abidin berkata siasatan terperinci masih dijalankan tetapi menegaskan rokok merupakan barang larangan dan tidak sepatutnya dibawa masuk dalam kem PLKN.

"Walaupun punca kejadian tersebut belum disahihkan berpunca daripada rokok, namun perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku. Kita dah jangka kalau rokok dibawa masuk, sudah tentu akan terjadi perkara lain," katanya.

Beliau berkata tindakan dan penguatkuasaan yang ketat akan dilaksanakan di seluruh kem PLKN, terutama ketika lawatan keluarga bagi mengelak rokok diseludup masuk.

Pemeriksaan terperinci akan dilakukan ke atas setiap individu yang melawat pelatih bagi memastikan bahan itu tidak dibawa masuk, katanya.

Sementara itu, bapa Haziq, Jaafar Ibrahim, 46, mungkin akan membawa kes kematian anaknya ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan siasatan punca kematian anaknya itu.

Jaafar berkata ketika ini mereka sekeluarga menyerahkan siasatan penuh berhubung kejadian itu kepada polis.

"Saya memang terkilan, kursus ini (PLKN) memang bagus tetapi dari segi kawalan di pusat latihan kurang memuaskan. Tiada jurulatih yang menguruskan sepenuhnya para peserta.

"Tindakan susulan akan dibuat, kalau tidak puas hati baru kita akan saman PLKN atau keluarga pelatih yang menyebabkan kematian anak saya," katanya.

Sementara itu, ibu Haziq, Fadhilah Mohd Yasin, 39, berkata beliau redha atas kematian Haziq walaupun masih bersedih.

"Apa yang dikesalkan, keluarga pelatih yang terlibat atas kematian anak saya langsung tidak menjenguk kami, apatah lagi memohon maaf atas perbuatan anak mereka. Kami boleh menerima kedatangan mereka dengan baik dan amat bersedia menerima kedatangan mereka," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Haziq meninggal dunia selepas terbabit dengan pergaduhan dengan seorang lagi pelatih PLKN yang berasal dari Kempas, Johor, semasa menonton televisyen di bilik rehat kem berkenaan.

Haziq yang cedera parah di bahagian tengkuk meninggal dunia di hospital kira-kira 11.55 malam.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home