cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

Tidak Sepatutnya Berlaku Pergaduhan Dalam Kem PLKN - Najib



Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pergaduhan tidak sepatutnya berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, Kluang, Johor sehingga mengakibatkan kematian seorang pelatih kem itu.

"Saya sedih dengan kejadian yang berlaku. Tidak sepatutnya berlaku kejadian seperti itu dalam kem kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Sabtu.

Najib diminta mengulas pergaduhan antara dua pelatih PLKN sehingga menyebabkan kematian Haziq Jaafar, 17, semalam.

Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan pelatih kem itu serta kem-kem lain supaya bertenang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengeruhkan lagi suasana.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan lanjut berhubung perkara itu telah diambil dan laporan polis juga telah dibuat.

"Perkara ini telah menjadi kes polis dan sedang dalam siasatan," katanya.

Najib turut menyuarakan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sementara itu Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan menyebut bahawa kejadian itu berlaku pada pukul 10.50 malam ketika Haziq sedang menonton televisyen bersama rakan-rakan lain.

Seorang pelatih dikatakan menendang tengkuk Haziq menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Haziq kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Kluang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 malam yang sama.

Jenazah allahyarham dihantar ke Kota Tinggi Johor hari ini untuk urusan pengebumian.

Di JOHOR BAHARU, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow berkata ibu bapa tidak sepatutnya bimbang dan takut untuk menghantar anak mereka menyertai PLKN.

Beliau berkata kejadian seperti itu tidak dapat dielakkan dan mungkin berlaku secara tidak sengaja serta boleh berlaku di mana-mana dan tidak sahaja di kem-kem PLKN.

"Saya harap kejadian itu dan liputan media mengenainya tidak menimbulkan rasa takut di kalangan ibu bapa untuk terus membenarkan anak mereka menyertai program ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Fu yang menyuarakan rasa kesalnya atas kejadian itu berkata kes itu harus dijadikan iktibar dan penguatkuasaan di kem-kem PLKN di seluruh negara akan dipertingkatkan.

"Kes yang berlaku ini tidak bermakna program ataupun modul yang dititikberatkan harus diubah. Kita tidak boleh menyalahkan program ini. Program ini sudah semestinya mendatangkan banyak manfaat kepada para remaja," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Johor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis hari ini menahan reman pelatih berusia 17 tahun dari Kempas, Johor yang dipercayai terbabit dalam kes itu selama 10 hari untuk membantu siasatan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ketika jenazah mula diusung untuk dikebumikan.

Kaum keluarga, jiran, beberapa jurulatih PLKN serta anggota Parlimen Tenggara Datuk Dr Adham Baba, turut menziarah jenazah.

Jenazah Haziq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, Kota Tinggi selepas solat Asar hari ini.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home