Lokasi latihan punca modul senjata PLKN ditangguhkan
20-03-2006 01:10:54 PM
KUALA LUMPUR: Lokasi lapang sasar yang kebanyakannya terletak agak jauh dari kem latihan khidmat negara merupakan punca utama yang menyebabkan latihan penggunaan senjata api dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terpaksa ditangguhkan.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin berkata terdapat lapang sasar terletak lebih 100 kilometer dari kem latihan yang akan menyukarkan pihak kem dan jurulatih untuk membawa pelatih PLKN ke lokasi lapang sasar.
"Secara dasarnya kementerian telah bersetuju untuk melaksanakan modul tersebut tetapi oleh kerana soal lapang sasar ini kita belum dapat menetapkan bila ianya akan dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Zainal Abidin berkata berdasarkan maklum balas yang diterima oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara jelas menunjukkan bahawa PLKN telah memberikan impak positif.
Antaranya program itu telah mengelakkan remaja daripada terlibat dengan gejala sosial, memberi pengalaman, memupuk sifat tanggungjawab dan mematangkan pelatih, katanya.
Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa 87 peratus pelatih bersetuju bahawa PLKN telah menimbulkan semangat cinta kepada negara, 93 peratus bersetuju PLKN dapat mempertingkatkan daya ketahanan fizikal dan mental.
Sementara 86 peratus pelatih bersetuju PLKN menyatupadukan rakyat Malaysia dan mewujudkan persefahaman yang lebih baik di antara pelatih yang berlainan bangsa dan agama.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa 85 peratus pelatih bersetuju PLKN telah dapat melatih bakal pemimpin dan 94 peratus bersetuju PLKN memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman baru kepada mereka.
Zainal Abidin berkata sehingga kini sejumlah 95,000 orang telah terpilih bagi mengikuti program itu bagi siri 3/2006 di 81 buah kem di seluruh negara. BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home