Blok kem PLKN terbakar, rugi RM250,000
03-03-2006 08:47:11 PM
BUKIT MERTAJAM: Sebuah blok bangunan yang menempatkan bilik pentadbiran, stor dan asrama 48 jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Syruz, Machang Bubok di sini, musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Komandan kem itu Mejar Shahidan Arshad berkata kebakaran pada kira-kira 1.30 tengah hari itu memusnahkan keseluruhan blok bangunan terbabit manakala dua blok asrama pelatih yang terletak bersebelahan, terselamat.
Kem itu menempatkan 468 pelatih.
Katanya kebakaran itu menyebabkan peralatan logistik kem seperti pakaian seragam pelatih serta beberapa peralatan komputer dan kamera digital hangus.
"Ketika kejadian, jurulatih dan pelatih lelaki keluar menunaikan solat Jumaat. Kejadian itu disedari seorang kerani yang ketika itu berada di pejabat dan sedang bersiap untuk pergi ke masjid," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata kerugian dianggarkan kira-kira RM250,000.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam Rohana Mustapha berkata bomba menerima panggilan kira-kira 2.02 petang dan tiba di tempat kejadian 16 minit kemudian.
"Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan Sungai Bakap, Nibong Tebal berjaya mengawal kebakaran beberapa minit kemudian," katanya.
Sementara itu, di Pulau Pinang, seorang wanita yang dipercayai mabuk, mati terjatuh dari tingkat enam rumahnya di Taman Seri Hijau, Jelutong di sini awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Gan Kong Meng berkata wanita berumur 41 tahun itu yang bekerja sebagai pelayan, mati selepas setengah jam dimasukkan ke Hospital Lam Wah Ee di sini.
Katanya dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu wanita berkenaan sedang minum minuman keras bersama suami dan rakannya dan tiba-tiba berlari menuju ke arah balkoni rumahnya dan terjun.
Polis mengklasifikan kes itu sebagai mati mengejut. BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home