cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

Diserang virus: 80 pelatih PLKN dirawat di kem, 30 lagi pulih
22-04-2006 05:50:16 PM
MELAKA: Seramai 30 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putera, Taboh Naning, Alor Gajah yang dimasukkan ke Hospital Melaka setelah mengalami demam panas dan batuk-batuk beberapa hari lalu, kini beransur pulih.

Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Negeri, Dr Ghazali Othman berkata mereka memberi tindak balas yang baik terhadap ubat-ubatan termasuk ubat antibiotik yang diberikan untuk rawatan.

Seramai 80 lagi pelatih yang menghadapi simptom yang sama dirawat di kem tersebut tetapi mereka diasingkan daripada pelatih lain yang sihat, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kesemua 30 pelatih itu dimasukkan ke Hospital Melaka selepas suhu badan mereka meningkat melebihi 39 darjah Celsius.

Mereka dikatakan menunjukkan simptom yang sama iaitu demam, sakit tekak, batuk, pening, sakit sendi dan keletihan, sejak Isnin lepas.

Dr Ghazali berkata walaupun bilangan pelatih berkenaan bertambah berbanding 94 orang semalam, kesemua mereka semakin pulih.

Beliau berkata dua orang doktor dan dua kumpulan jururawat dihantar ke kem tersebut bagi merawat 80 pelatih di kem itu.

Pihaknya masih lagi menunggu ujian sampel darah kesemua pelatih terbabit yang dihantar ke makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh dan makmal Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur bagi mengetahui jenis virus dijangkiti mereka, katanya.

Katanya punca sebenar kejadian itu hanya akan diketahui selepas mendapat hasil ujian sampel darah yang dijalankan oleh kedua-dua makmal berkenaan.

Dr Ghazali berkata ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keadaan anak-anak mereka di kem tersebut kerana pihaknya sedang memberi perhatian rapi. BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home