Edisi Timur: Tiga bulan makan bubur nasi
Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: “Saya kena makan bubur nasi untuk tiga bulan,” kata Nabilah Ariffin, 18, yang patah rahang ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mac lalu.
Nabilah menjelaskan, kemalangan ke atas rahangnya berlaku ketika dia mengikuti perbarisan tamat kursus di Kem Telok Rubiah, dekat Seri Manjong, Perak, kira-kira jam 8 pagi, 10 Mac lalu.
Menurutnya, berikutan kemalangan berkenaan, berat badannya susut selain terpaksa memakai besi pengikat gigi bagi menyokong rahangnya yang dipasang di Hospital Tumpat (HT).
Nabilah berkata, dia terpaksa mengikuti perbarisan berkenaan selepas jurulatih di kem itu tidak memberi maklum balas selepas dia mengadu tidak sihat ketika itu.
“Oleh kerana tiada keputusan daripada jurulatih, saya turut serta dalam perbarisan itu juga walaupun tidak berdaya,” katanya di di pejabat Cawangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam.
Berikutan itu, pelajar terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Tumpat selepas tidak berpuas hati mengenai kejadian itu, semalam.
Menurutnya, dia kemudiannya dimasukkan ke wad hospital terbabit sebelum dipindahkan ke Hospital Tumpat (HT) atas permintaan keluarganya, empat hari selepas itu.
Ayahnya, Ariffin Daud, 47, berkata dia kesal dengan kejadian menimpa Nabila walaupun pihak berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keadaan anaknya yang kurang sihat ketika perbarisan.
Menurutnya, aduan pelatih sepatutnya diberi perhatian dan komandan seharusnya membuat pemantauan lebih kerap dan peka dengan keadaan di kem.
“Apa yang saya tahu sebelum kejadian anak saya sudah mengadu mengenai kesihatannya tetapi tidak dihiraukan sehingga dia rebah atas simen dan pitam,” katanya.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi kakitangan PLKN selepas mendapati keadaan kecederaan anaknya agak serius.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya bergegas ke Perak untuk melihat keadaan Nabilah dan saya terkejut apabila anak saya langsung tidak boleh bercakap.
“Sehingga ini, PLKN tidak pernah menghubungi bertanyakan kesihatan Nabilah yang terpaksa menjalani rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Nor Azizan Anan, mengesahkan pihaknya menerima laporan oleh bekas pelatih PLKN terbabit.
“Kami akan menghantar laporan itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Lumut, Perak, untuk tindakan,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home