utusan malaysia online
laporan khas
Dasar belia diorientasi semula
DASAR dan program pembangunan belia akan diorientasi dan disusun semula bagi mempertingkatkan keberkesanannya berdasarkan jangkaan pertambahan golongan itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Antaranya ialah penggubalan Akta Belia Negara bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program pembangunan belia untuk membantu serta menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan itu dalam pelbagai persatuan.
Akta ini akan menggabungkan peranan antara kementerian dalam pembangunan belia untuk memastikan program belia dilaksanakan secara lebih bersepadu, selaras dan bersinergi.
Jumlah golongan belia dijangka bertambah pada kadar purata 1.1 peratus setahun, daripada 11.10 juta pada tahun 2005 kepada 11.65 juta pada tahun 2010.
Sehubungan itu, kerajaan akan mewujudkan teras pembangunan belia dengan mengupayakan golongan tersebut melalui peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan.
Antara langkah lain yang diambil untuk meningkatkan akses kepada program pembelajaran sepanjang hayat ialah pendidikan jarak jauh dan tidak formal.
Di samping itu, Institut Penyelidikan Belia Negara akan diwujudkan dengan menggunakan kemudahan sedia ada untuk menjalankan penyelidikan dalam enam bidang.
Enam bidang itu ialah memasyarakatkan belia, agama dan budaya, potensi belia dan integriti, belia berpersatuan, kepimpinan dan kesukarelaan, belia dan pendidikan serta belia dan kesedaran politik.
Sementara itu, satu program baru, Program Memperkasakan Tenaga Muda akan dilaksanakan terutama untuk belia yang tidak terpilih menyertai PLKN.
Aktiviti dan modul di bawah PLKN akan dilaksana untuk memastikan mereka yang tidak terpilih menyertai PLKN mendapat pendedahan kepada program yang sama.
Sebagai persediaan yang lebih baik kepada pelajar untuk menyertai PLKN, kerajaan akan menyepadukan program itu dalam kokurikulum dan kurikulum di sekolah menengah.
Program latihan kemahiran akan diperluas bagi merangkumi bidang baru seperti penyenggaraan bangunan dan pesawat serta pengurusan hotel selain memperkenalkan program teknikal dan vokasional yang baru.
Program Pembangunan Belia Tani akan diperkenalkan dalam tempoh RMK9 untuk terus menggalak dan menarik minat lebih ramai belia melaksanakan projek dalam sektor pertanian.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home