Utusan Malaysia Online
Kementah tidak lagi beri projek kepada Kausar
Oleh Fauzi Jaafar
KUALA LUMPUR 28 Mac - Kementerian Pertahanan memutuskan untuk tidak mempertimbangkan sebarang permohonan tender daripada Kausar Corporation Sdn. Bhd., tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan itu diambil setelah mendapati syarikat tersebut gagal menyiapkan beberapa projek di bawah kementerian hingga terbengkalai.
``Selepas ini kita tidak akan mempertimbangkan Kausar untuk projek kementerian akan datang,'' kata beliau ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) meminta penjelasan tindakan kementerian terhadap Kausar Corporation yang gagal menyiapkan beberapa projek kementerian.
Kit Siang berkata, banyak projek kementerian yang dibina oleh Kausar Corporation gagal disiapkan segera dan menjejaskan subkontraktor.
Antara projek yang terbengkalai di bawah syarikat itu ialah Kem Tentera Darat Skudai di Johor.
Najib berkata, pada awalnya pemilihan syarikat tersebut dibuat kerana rekodnya telah berjaya menyiapkan beberapa projek kerajaan mengikut jadual.
``Tindakan bagi menyenaraihitamkan mana-mana syarikat adalah langkah terakhir yang diambil sekiranya langkah awal menemui kegagalan,'' jelas beliau.
Beliau memaklumkan, pihak kementerian dari semasa ke semasa telah mengambil langkah proaktif untuk memantau perkembangan projek kementerian dan sering mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat.
Berhubung isu kecurian senjata yang dibangkitkan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), beliau berkata, beberapa kes masih dalam siasatan polis dan tentera sedang bekerjasama mengumpul bukti untuk di bawa ke mahkamah.
``Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang mencuri senjata dan saya juga sudah mengarahkan kawalan senjata di kem tentera diperketatkan lagi,'' tegas beliau.
Beliau juga mengumumkan hasrat kementerian untuk menubuhkan alumni bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Mengenai pengedaran dadah di kem PLKN yang didakwa oleh Bernard Maraat (BN-Pensiangan), Najib berkata, kementerian tidak mempunyai maklumat tentang isu itu.
Beliau bagaimanapun berkata, kawalan keselamatan di semua kem PLKN akan ditingkatkan selepas ini.
Dalam usaha meningkatkan kualiti anggota tentera, beliau berkata, kerajaan akan menaik taraf Akademi Tentera Malaysia (Atma) sebagai sebuah universiti dalam bidang pertahanan negara.
``Dengan ini kita akan dapat menyerap lulusan Atma yang berkualiti dan berpendidikan tinggi (ke dalam ATM) sejajar usaha menaikkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM),'' ujar beliau.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home