Edisi Tengah: 81 pelatih PLKN alami sakit misteri
Oleh Mohamad Yatim Latip
MELAKA: Seramai 81 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putera Puteri Taboh Naning, Alor Gajah, di sini, dimasukkan ke Hospital Melaka (HM) petang kelmarin selepas disyaki menghidap penyakit misteri sejak dua hari lalu.
Daripada jumlah itu, 25 pelatih dirawat di wad manakala 56 lagi dikuarantin. Pelawat dilarang memasuki wad yang menempatkan mereka.
Kebanyakan pelatih berkenaan dikatakan mengadu demam, sakit tekak, loya, sakit sendi, batuk dan pening sejak Isnin lalu dan berlarutan sehingga kelmarin walaupun sudah diberi rawatan di Hospital Alor Gajah (HAG).
Malah, doktor pakar di HM tidak mengetahui penyakit yang dialami pelatih terbabit tetapi tidak menolak kemungkinan jangkitan virus kerana mengambil minuman tidak bersih.
Pelatih berkenaan mendakwa mereka mula mengalami demam panas diikuti sakit sendi dan pening secara beramai-ramai dengan suhu badan melebihi 39 darjah celcius.
Seorang pelatih, Rashidah Deraman, 19, berkata dia mula demam sejak Isnin lalu dan sudah diberi rawatan dan ubat tetapi masih tidak pulih.
“Saya tidak tahu kenapa tetapi ramai rakan saya mengalami simpton sama,” katanya.
Seorang lagi pelatih, Lee Tiong Guan, 19, berkata dia mengesyaki penyakit itu berpunca daripada meminum air yang tidak bersih.
Dia mendakwa air dibekalkan kem berkenaan keruh dan diragui kebersihannya.
“Saya sudah makan ubat demam tetapi masih tidak sembuh, mungkin penyakit saya ini pelik.
“Saya juga mengalami sakit tekak selepas meminum air yang dibekalkan di kem itu,” katanya.
Berikutan ramai menghidap penyakit itu, sepasukan 20 doktor dari HM membuat pemeriksaan di kem berkenaan, semalam.
Mereka mengambil contoh air yang diminum pelatih, makanan dan segala kemungkinan yang ada kaitan punca penyakit.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abu Pit, berkata semua pelatih terbabit dimasukkan ke HM sejak jam 6 petang sehingga jam 11 malam kelmarin secara berperingkat selepas mereka dikatakan demam panas, pening, batuk, sakit sendi dan batuk.
“Saya difahamkan oleh doktor pakar HM bahawa virus yang disyaki menyerang mereka belum dapat dikenal pasti lagi,” katanya selepas melawat mangsa di HM semalam.
Turut hadir Pengarah HM, Dr Abu Bakar Mohamud, Ahli Naziran PLKN negeri, Gan Tian Loo, Komandan Kem Putera dan Puteri, V. Panniilseva dan Timbalan Pengarah Kesihatan HM, Dr Jaafar Che Mat.
Abu berkata, setakat ini, HM juga sudah menghantar sampel darah pelatih terbabit ke Hospital Kuala Lumpur untuk ujian.
“Jabatan Kesihatan Negeri sudah menghantar lebih 20 doktor selain jururawat bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap tahap kebersihan kem berkenaan, termasuk memeriksa pelatih,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa tidak perlu risau dengan keselamatan anak mereka kerana setiap kem PLKN di negeri ini menyediakan pakar perubatan memulih dan mengawal tahap kesihatan serta keselamatan pelatih sehingga sesi latihan tamat pada 10 Jun depan.
Dalam pada itu, Abu berkata, kesihatan pelatih terbabit beransur pulih selepas mereka diberi ubat antibiotik.
Beliau berkata, mereka hanya dibenarkan pulang apabila kesihatan mereka kembali pulih 100 peratus dan boleh menjalani kembali aktiviti latihan
-Harian Metro Online--
0 Comments:
Post a Comment
<< Home