cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

utusan malaysia online
18 pelatih PLKN diserang virus
MELAKA 20 April - Seramai 18 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Taboh Naning, Alor Gajah di sini terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka di sini semalam kerana demam panas dan batuk-batuk disyaki akibat jangkitan virus.

Seorang lagi pelatih terpaksa ditahan di wad Hospital Alor Gajah di sini kelmarin manakala 45 lagi diasingkan di kem tersebut bagi mengelakkan jangkitan tersebut daripada merebak.

Pengarah Hospital Melaka (HM), Dr. Abu Bakar Mahamud berkata, pihaknya setakat ini masih belum dapat mengesahkan jenis virus yang menjangkiti kesemua mangsa.

Beliau memberitahu, pihaknya telah mengambil sampel darah kesemua mangsa untuk diuji di Hospital Kuala Lumpur.

``Seramai 10 pelatih perempuan dan lapan lelaki dimasukkan ke HM pada pukul 1 pagi semalam manakala seorang lagi pelatih lelaki dimasukkan ke hospital Alor Gajah kelmarin.

``Lima daripada mereka berasal dari negeri ini, 13 dari Johor dan satu dari Negeri Sembilan sedang dikuarantin dan keadaan mereka dilaporkan stabil,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abu Bakar, demam dan batuk yang dialami oleh para pelatih tersebut sudah berkurangan dan keadaan mereka kini stabil.

Sementara itu, komander kem tersebut, Leftenan Komander V. Pannirselvan Veloo berkata, 45 pelatih yang diasingkan itu menerima rawatan daripada unit perubatan kem.

``Kesemua aktiviti di tasik kem telah dihentikan serta-merta sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan.

``Kami mengesyaki tasik berkenaan mungkin menjadi punca kepada kejadian ini, `' katanya.

Menurutnya, kira-kira 34 pelatih mengadu kurang sihat Isnin lalu dan seorang pelatih dimasukkan ke Hospital Alor Gajah kerana demam panas pada hari berikutnya.

Tambah beliau, 18 lagi pelatih dimasukkan ke HM kerana demam panas setelah para pegawai dari hospital dan jabatan kesihatan negeri menasihatkan untuk berbuat demikian.

``Persekitaran, makanan serta tasik di kawasan kem didapati bersih dan boleh digunakan dalam satu ujian yang dijalankan kira-kira tiga minggu lalu, `' kata Pannirselvan.

Jelas beliau, Kem Taboh Naning mempunyai 460 pelatih dan aktiviti latihan untuk peserta yang sihat diteruskan seperti biasa.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Abu Pit berharap agar ibu bapa dapat bersabar sementara menunggu keputusan ujian.

``Para pegawai kesihatan sedang memantau kejadian ini dengan teliti, sesiapa yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh berhubung dengan pihak pengurusan kem, `' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home