cerita PLKN

Tuesday, April 25, 2006

Penyakit serang pelatih PLKN Naning Melaka tidak serius, Lee
25-04-2006 04:19:09 PM
MELAKA: Penyakit yang dialami para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kem Putera Tabong Naning, Alor Gajah di sini, tidak serius, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Datuk Dr Ismail Merican hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek dijangka membuat pengumuman esok mengenai jenis virus dan punca kejadian itu berdasarkan hasil ujian sampel darah pelatih terbabit serta sampel lain yang diambil di kem itu oleh makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh dan makmal Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur.

"Kejadian ini telah dapat dikawal dengan baik, pesakit telah menunjukkan tindak balas yang positif terhadap ubat-ubatan seperti antibiotik yang diberikan dalam rawatan," katanya.

Lee berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 28 peserta PLKN kem terbabit yang dirawat di Hospital Melaka (HM) di sini, sejak 17 April lepas akibat demam panas dan batuk-batuk.

Seramai 24 peserta lagi yang dirawat di HM kerana penyakit yang sama, dibenarkan pulang ke kem itu sejak Ahad lepas manakala 64 pelatih lagi menerima rawatan dalam kem.

Beberapa anggota Naziran MLKN Melaka, Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Nooraini Baba dan Pengarah HM Dr Abu Bakar Mohamud turut hadir pada lawatan itu.

Lee berkata Jabatan Kesihatan Melaka dan Hospital Melaka telah memberi perhatian rapi ke atas semua pelatih terbabit.

Sementara itu Lee meminta inspektor kesihatan membuat pemeriksaan lebih kerap di kesemua 76 kem PLKN bagi memastikan tidak berlaku pengabaian aspek kebersihan dan kesihatan.

Menurutnya Jabatan Latihan Khidmat Negara akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan di setiap negeri bagi tujuan tersebut.

"Saya anggap kebersihan dan kesihatan satu perkara yang tidak boleh dikompromi, kita tidak boleh abaikan kerana kita tidak mahu melihat peserta jatuh sakit kerana masalah keracunan makanan berdasarkan beberapa kes yang pernah berlaku di kem PLKN sebelum ini," katanya.

Beliau berkata pengurusan kem bertanggungjawab memastikan kem mereka sentiasa bersih dalam semua aspek terutama di kalangan pengusaha kantin yang mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Jika ini berlaku (pengabaian kebersihan dan kesihatan), ia memberi gambaran tidak baik kepada ibu bapa bahawa anakanak mereka mengambil makanan yang tidak bersih dan akibatnya mereka jatuh sakit," katanya. BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home