cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

utusan malaysia online
Nazirah dikecuali ikuti PLKN
KUALA LUMPUR 21 Mac - Seorang calon pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang buta sebelah mata dan mengalami sakit pinggang yang serius, Siti Nazirah Don, 18, dikecualikan mengikuti program tersebut.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan perubatan Siti Nazirah yang mengesahkan bahawa beliau tidak layak mengikuti program itu disebabkan kecacatan mata kanan.

``Siti Nazirah akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pengecualian beliau ini sebaik saja Jawatankuasa Pengecualian bersidang dalam tempoh terdekat,'' kata kenyataan itu.

Kisah Siti Nazirah yang sanggup menyertai latihan PLKN meskipun buta sebelah mata dan mengalami sakit pinggang yang serius disiarkan oleh Utusan Malaysia, semalam.

Siti Nazirah merupakan salah seorang daripada 35,066 pelatih PLKN Kumpulan 2, 2006 yang akan menjalani program itu di seluruh negara selama tiga bulan, bermula semalam hingga 10 Jun.

Memohon

Menurut kenyataan itu, Siti Nazirah dihantar pulang pada hari yang sama beliau melaporkan diri iaitu pada 19 Mac lalu di Kem PLKN Rekreasi Belia, Baling setelah pelatih terbabit mengemukakan Borang Kesihatan dan Borang Permohonan Penangguhan.

Sementara itu, JLKN dalam kenyataan itu sekali lagi menegaskan bahawa mana-mana calon yang terpilih menjalani latihan PLKN tetapi mempunyai masalah kesihatan boleh memohon penangguhan atau pengecualian.

Kata kenyataan tersebut, semua calon pelatih yang mempunyai masalah kesihatan dinasihatkan supaya berjumpa dengan Pegawai Perubatan dan mendapatkan pengesahan sama ada mereka layak atau tidak untuk meneruskan latihan PLKN.

Menurut kenyataan itu, penangguhan mengikuti latihan PLKN akan diberikan kepada golongan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu mereka yang menduduki peperiksaan utama, mereka yang meneruskan pengajian dan mereka yang mengalami kesusahan luar biasa.

Kata kenyataan berkenaan, mereka yang layak memohon pengecualian pula perlu mempunyai sebab-sebab tertentu antaranya mental bercelaru, kecacatan fizikal, sedang menjalani hukuman penjara serta menghidap penyakit maut dan penyakit berjangkit.

Borang permohonan pengecualian dan penangguhan itu boleh didapati di bu pejabat JLKN atau boleh dimuat turun dari laman web www.khidmatnegara. gov.my.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home