cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

utusan Malaysia Online
parlimen

Sediakan menu makanan pilihan untuk pelatih PLKN
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Isu mengenai menu makanan yang disediakan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikatakan tidak memberi pilihan kepada kaum lain, mendapat perhatian daripada beberapa ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Rata-rata mereka terutama pembangkang menganggap penyediaan menu itu perlu mengambil kira faktor sesuatu budaya kaum di negara ini dan pelatih tidak hanya disediakan ayam atau daging pada satu-satu masa.

Menurut Lim Hock Seng (DAP-Bagan), bagi pelatih yang tidak makan daging, mereka terpaksa menikmati sayur-sayuran sahaja sedangkan sepatutnya disediakan ayam.

``Mereka seharusnya disediakan dua pilihan makanan dan bukan menafikan hak mereka untuk mendapatkan makanan,'' katanya ketika mencelah semasa penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin bagi kementerian itu.

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang menyatakan bahawa beliau menerima maklum balas hanya makanan Melayu sahaja disediakan di kem PLKN.

Beliau berkata, sepatutnya makanan dipelbagaikan dengan menyajikan menu makanan kaum Iban, Kadazan, Cina dan India kerana ia merupakan satu cara untuk memupuk perpaduan.

Zainal Abidin berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada operator PLKN supaya mereka tidak menyediakan satu menu sahaja sehingga pelatih tidak mempunyai pilihan lain.

Bagaimanapun menurut Zainal Abidin, beliau telah melawat banyak kem PLKN tetapi masalah mengenai makanan ini tidak banyak yang dibangkitkan kerana makanan yang disediakan adalah amalan pemakanan semua kaum.

``Ini adalah latihan PLKN, jadi mereka tidak seharusnya memilih selera dan kita juga tidak boleh memuaskan hati semua pihak,'' katanya.

Menyentuh mengenai harga makanan, beliau berkata, operator kem PLKN di Semenanjung dibayar RM16 bagi setiap pelatih untuk sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam dan minuman petang dan RM20 bagi Sabah.

Pemilihan makanan pula, ujarnya adalah berubah setiap masa namun kerajaan tidak mahu membebankan kontraktor dengan pembelian bahan makanan yang lebih tinggi kerana ia tidak sesuai dengan kadar yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau juga meminta supaya kaum lain tidak menaruh `syak wasangka' dengan menganggap hanya bangsa Melayu sahaja diberikan kenaikan pangkat di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Zainal Abidin berkata, amalan kenaikan pangkat di kalangan anggota tentera telah lama diamalkan iaitu sejak zaman sebelum merdeka dahulu dan diterima pakai sehingga kini.

``Kenaikan pangkat adalah berasaskan kepada beberapa faktor dan bukan berdasarkan kaum. Adalah tidak benar dakwaan yang menyatakan hanya orang Melayu mendapat tempat terbaik di dalam ATM.

``Kalau dikatakan kita pilih kasih, maka tidak akan terdapat seorang anggota tentera wanita berketurunan Cina dibenarkan memandu jet pejuang,'' katanya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home