utusan Malaysia online
laporan khas
PLKN eratkan hubungan antara kaum
REMBAU 10 Mac - Para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyifatkan modul-modul yang disediakan dapat mengeratkan hubungan antara kaum seterusnya membentuk disiplin, jati diri dan cintakan negara.
Beberapa pelatih PLKN Kem Titian Bintangor ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis tamat latihan Kumpulan 1 Siri 3/2006 berpendapat, program berkenaan benar-benar berkesan kepada diri mereka.
Seorang pelatih, Shahrul Ridzuan Norizan, 18, dari Lubuk Cina, Melaka berkata, dia amat berpuas hati dengan latihan yang diperoleh sepanjang berada di kem tersebut.
Katanya, pengalaman semasa mengikuti latihan menyedarkan dia bahawa setiap remaja mempunyai tugas yang amat besar kepada diri, keluarga dan negara.
``Sepanjang berada di sini, saya sedar bahawa hubungan antara kaum amat penting bagi menjamin kesejahteraan negara,'' katanya yang menerima anugerah pelatih terbaik keseluruhan.
Rakannya, Joanne Elizabeth, 18, dari Seremban berkata, dia sedih untuk berpisah dengan rakan-rakan pelatih setelah tiga bulan bersama di kem berkenaan.
Katanya, selain menimba pengalaman semasa latihan, program itu juga dapat menemukannya dengan rakan-rakan baru yang sebaya.
``Sudah pasti program ini memberi manfaat kepada diri sendiri kerana kita akan tahu menilai erti sebuah kehidupan dalam negara tercinta ini.
``Saya pasti program ini dapat memupuk dan menyemai semangat cintakan negara di samping saling hormat menghormati,'' katanya.
Seorang lagi pelatih, Norabidah Amirudin, 18, juga berpendapat program ini amat baik terutama kepada golongan remaja atau lepasan sekolah.
Ini kerana pengalaman serta tunjuk ajar semasa latihan dapat memberi kesedaran kepada remaja agar menjadi rakyat yang berguna dan berjasa kepada diri, keluarga dan negara.
Chan Kah Jun, 18, berkata, PLKN merupakan peluang terbaik untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum.
``Saya rasa PLKN dapat membentuk semangat kenegaraan yang kuat dan seterusnya mengikis sifat perkauman,'' katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home