cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

Utusan Malaysia online
Disiplin peserta PLKN setaraf tentera
PASIR MAS 10 Mac - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjaya melahirkan remaja yang mempunyai tahap disiplin tinggi sama seperti anggota tentera walaupun tempoh latihan hanya kira-kira tiga bulan.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mahdi Yusof berkata, penilaian tahap disiplin tersebut dibuat berdasarkan cara peserta berkawat kerana aktiviti itu memberi penekanan kepada falsafah patuh kepada arahan dan keseragaman dalam tindakan.

``Ini adalah pandangan saya sebagai anggota tentera yang sudah 28 tahun berkhidmat, saya amat berbangga dengan cara mereka berkawat dan ia sepatutnya menjadi kebanggaan negara kita,'' katanya kepada pemberita selepas menutup PLKN Kumpulan 1 Siri 3/2006 di Kem Cancun Park di sini, hari ini.

Sebanyak 408 peserta dari Perak, Kelantan, Selangor dan Terengganu menamatkan latihan tersebut yang membabitkan modul fizikal, kenegaraan, pembinaan watak dan khidmat komuniti.

Turut hadir ialah Komandan kem tersebut, Mejar Abdul Hakim Abas.

Beliau berkata, langkah kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi melatih peserta PLKN tidak sia-sia kerana remaja terbabit menampilkan keyakinan diri yang tinggi berbanding ketika mereka baru masuk.

``Saya dapati peserta telah melalui proses transformasi yang positif dan mereka bakal menjadi pemacu kepada pembangunan negara hasil daripada pelaksanaan modul-modul yang disusun dengan begitu baik dan teratur,'' ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan aktiviti latihan ala tentera seperti berkawat dan tempur tanpa senjata juga amat berkesan dan mendapat sambutan daripada peserta.

``Aktiviti terbabit membolehkan peserta membina fizikal diri masing-masing dan meningkatkan ketajaman minda. Ini amat berguna apabila mereka bekerja nanti,'' ujarnya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home