utusan Malaysia Online
Rogol: Bekas jurulatih PLKN dipenjara 12 tahun
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 19 Dis. - Bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Koperal Zuki Mohd. hari ini dihukum penjara 12 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol seorang pelatih program itu pada 28 Februari tahun lalu.
Serentak dengan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Zuki yang juga merupakan seorang anggota tentera menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa mulai hari ini.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Ahmad Zaidi menegaskan, perbuatan tertuduh amat serius.
Apatah lagi, katanya, ia membabitkan seorang pelatih PLKN dan akibatnya juga kerajaan terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat berikutan kejadian itu.
Di dalam alasan penghakimannya lebih setengah jam itu, Ahmad Zaidi berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah setelah mahkamah mengambil kira keterangan yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak.
``Di peringkat pendakwaan lagi mahkamah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan wujudnya prima facie di dalam kes ini hingga satu peringkat tertuduh telah dipanggil membela diri.
``Mahkamah telah menerima keterangan kesemua saksi pendakwa khususnya mangsa dan pegawai perubatan bahawa kejadian rogol itu berlaku kerana adanya koyakan lama pada kemaluan mangsa dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan,'' kata beliau.
Zuki, 30, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang ketika ini berusia 19 tahun antara pukul 7.28 malam dan 9.10 malam, 28 Februari 2004 di dalam sebuah kereta Kancil di kawasan pertanian Ru Tapai, Setiu dekat sini.
Dia yang berasal dari Kampung Bari Besar, Setiu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mat Yusoff Mohamad.
Zuki dengan berkameja merah hati serta berseluar hitam kelihatan tenang ketika hakim menjatuhkan hukuman tersebut.
Beberapa anggota keluarganya termasuk ibu bapa tertuduh kelihatan berada di mahkamah.
Ahmad Zaidi berkata, begitu juga dengan unsur ketidaksukarelaan, masa, tempat serta tarikh di dalam kes itu iaitu mahkamah menerima setiap keterangan mangsa dan beberapa saksi lain berhubung dengan perkara tersebut.
Dalam pada itu beliau turut menyentuh tindakan pihak pembela yang cuba menjejaskan kredebiliti mangsa yang merupakan saksi penting di dalam kes itu dengan mengaitkan isu berbohong.
``Setelah meneliti secara keseluruhan keterangan yang diberikan oleh mangsa sebagai saksi pendakwa yang ke-11 pihak mahkamah mendapati saksi ini bercakap benar dan lurus.
``Oleh itu saya berpendapat pihak tertuduh gagal meyakinkan pihak mahkamah bahawa wujudnya syak yang munasabah di dalam kes terbabit,'' ujarnya.
Berhubung dengan langkah pihak pembela memberitahu mahkamah yang Zuki tidak berada di tempat kejadian melalui saksi ketiganya, beliau berkata, ia tidak boleh diterima kerana tidak ada notis mengenainya dibuat.
Sementara itu ketika mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman, Mat Yusoff memberitahu bahawa anak guamnya telah beristeri dan mempunyai dua orang anak kecil dan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh tertuduh.
``Saya juga telah diminta oleh anak guam saya untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi,'' ujarnya
0 Comments:
Post a Comment
<< Home