cerita PLKN

Sunday, April 23, 2006

utusan Malaysia
dalam negeri

PLKN: 600 memorandum tambahbaik diteliti
PUTRAJAYA 20 Nov. - Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara akan meneliti lebih 600 memorandum umum mengenai penambahbaikan program-program integrasi nasional dan perpaduan kaum termasuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Memorandum tersebut telah dikemukakan secara rasmi oleh 126 organisasi, persatuan dan kumpulan penduduk dalam mesyuarat jawatankuasa itu yang berlangsung tiga hari, berakhir hari ini.

Menurut Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Dr. Maximus Ongkili, memorandum tersebut tidak termasuk sejumlah cadangan yang dikemukakan melalui e-mail dan dalam bentuk memorandum bertulis yang disampaikan tanpa kehadiran pencadangnya.

Sejajar dengan itu, beliau berkata, jawatankuasa itu bersetuju menubuhkan sembilan jawatankuasa kecil yang akan bertanggungjawab mengendalikan isu-isu berkaitan pengukuhan integrasi nasional dan perpaduan kaum di negara ini.

``Sembilan jawatankuasa kecil itu kita bahagikan mengikut tugas dan keutamaan berkaitan integrasi nasional dan perpaduan kaum menerusi program-program yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan terutama PLKN.

``Jawatankuasa kecil itu akan bertanggungjawab mengendalikan isu politik dan kesannya kepada integrasi nasional, isu ekonomi, sosiobudaya dan agama, pendidikan termasuk peringkat pengajian tinggi, perundangan, sistem penyampaian kerajaan serta media dan teknologi,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Maximus berkata, setiap jawatankuasa kecil tersebut akan dipengerusikan oleh sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, jawatankuasa kecil itu akan bertanggungjawab mengemukakan laporan berdasarkan rumusan yang dibuat hasil daripada penelitian dan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh masyarakat, individu serta organisasi-organisasi.

Mengenai cadangan awam yang dikemukakan, beliau berkata, ia termasuklah cadangan untuk mempertingkatkan PLKN dalam aspek program latihan, kebajikan peserta dan pelatih, kurikulum latihan serta meningkatkan infrastruktur latihan.

Katanya, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah menambah kuota 10 peratus peserta Semenanjung untuk menjalani latihan di Sabah serta Sarawak dan penambahan yang sama bagi pelatih dari kedua-dua negeri itu menjalani latihan di Semenanjung.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, laporan-laporan oleh jawatankuasa kecil itu akan dikumpul serta digabungkan dan draf akhir laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara dijangka siap pada akhir Januari tahun depan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home