cerita PLKN

Wednesday, April 26, 2006

PLKN gagal wujud Patriotisme.
oleh : Mazlan Aliman Naib Ketua DPP Pusat.

KOTA TINGGI, 26 April (Hrkh) - Berbagai insiden yang berlaku sepanjang tempoh dua tahun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) membuktikan dengan jelas kegagalan program ini melahirkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda sebaliknya apa yang berlaku mereka menjadi lebih ganas dan tidak berdisiplin.

Kes pembunuhan seorang peserta PLKN di Kem Agro Tourism Kluang, Haziq Jaafar, 17, baru-baru ini, adalah kemuncak daripada kelemahan dan kegagalan program PLKN ini, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman, dekat sini.

Katanya, sebelum ini berbagai insiden seperti pergaduhan sesama peserta, kes rogol telah berlaku, selain itu baru-baru ini terdapat juga ancaman untuk mengebom kem-kem PLKN oleh bapa peserta yang tidak berpuashati dengan PLKN.

"Semua ini memperjelaskan kegagalan PLKN melahirkan generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya selepas mengadakan kunjungan ke rumah keluarga mangsa, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, pembunuhan ke atas mangsa tidak sepatutnya berlaku jika pihak pengurusan kem dapat menghidu lebih awal kejadian ini kerana insiden ini tidak berlaku secara spontan tetapi kegagalan pengurusan kem mengesan kejadian ini lebih awal menjadi punca insiden malang ini berlaku.

"Kita percaya pertembungan antara peserta ini telah berlaku lebih awal, sepatutnya tindakan segera diambil pengurusan kem bagi mengelak sebarang perselisihan antara peserta terus berlarutan sehingga menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku,"jelasnya.

Mazlan yang juga Ketua Penerangan PAS Johor, selanjutnya berkata, sejak awal penubuhan PLKN ini matlamat sebenar program ini tidak begitu jelas.

Menurutnya, jika sebelum ini kerajaan mewujudkan program ini bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai semangat patriotik dan berdisplin tetapi apa yang berlaku hari ini jelas menunjukkan matlamat ini tidak tercapai sebaliknya gagal.

Selanjutnya kata Mazlan lagi, PLKN telah gagal melahirkan peserta yang mempunyai semangat patriotik dan berdisplin, ini kerana pelaksanaan program ini tidak menjurus kepada konsep pembinaan akhlak yang meletakkan agama sebagai teras utama dalam pembentukan semangat patriotik dan displin peserta.

"Oleh kerana itu kita mendesak kerajaan mengkaji semula modul PLKN ini, kita sangat bimbang jika penekanan tidak diberikan terhadap isi kandungan modul PLKN ini dibimbangi lebih banyak lagi insiden negatif akan berlaku,"katanya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home